Manusia dan laut Laut

Pandu arah dan penjelajahan

Pandangan eurosentrik: pada 12 Oktober 1492, Christopher Columbus dari Itali menemui Benua Amerika untuk raja Sepanyol. (gambaran 1893)

Manusia telah merentasi laut sejak mereka membina lancang laut pertama. Orang Mesir purba dan orang Phoenicia menjelajahi Laut Mediterranean dan Laut Merah dengan Hannu dari Mesir mencapai Semenanjung Arab dan Pinggir Laut Afrika pada sekitar 2750 SM.[103] Pada alaf pertama SM, orang Phoenicia dan orang Yunani mengasaskan jajahan di sekitar Laut Mediterranean dan Laut Hitam[104] dan rumah api pertama, Rumah Api Iskandariah, dibina untuk memandu pelaut pada abad ke-3 SM.[105] Laut-laut di sepanjang pinggir laut Asia timur dan selatan digunakan oleh orang Arab dan orang Cina[106] dan orang Polinesia melakukan pandu arah yang menakjubkan, merentasi beribu-ribu batu di antara pulau kecil.[107] Pada zaman Pertengahan awal, orang Viking merentasi Atlantik Utara dan mungkin mencapai Lautan Hindi.[3](pp12–13)

Pada hujung abad kelima belas, pelaut Eropah Barat mula melakukan pelayaran penjelajahan lebih lama untuk mencari perdagangan. Bartolomeu Dias mengelilingi Tanjung Harapan pada 1487 dan Vasco da Gama mencapai India melalui Tanjung Harapan pada 1498. Christopher Columbus belayar dari Cádiz pada 1492, dalam cubaan untuk mencapai tanah timur dari India dan Jepun dengan cara baharu pelayaran ke arah barat. Sebaliknya, beliau mendarat di sebuah pulau di Laut Caribbean dan beberapa tahun kemudian, pemandu arah dari Venice, John Cabot, mencapai Newfoundland. Amerigo Vespucci dari Itali, yang sempena beliau Amerika dinamai, menjelajahi garis pinggir laut Amerika Selatan dalam pelayaran dibuat pada antara 1497 dengan 1502, termasUk muara Sungai Amazon.[3](pp12–13) Pada 1519, pemandu arah Portugis, Ferdinand Magellan, mengetuai ekspedisi pertama untuk belayar ke seluruh dunia.[3](pp12–13) Pada 1594, kapten dari Belanda, Willem Barentsz, mencapai Svalbard dan Laut Barents. Tiada yang mengatakan kesemua pemandu arah zaman pertengahan adalah dari Eropah Barat. Orang Novgorod telah melayari Laut Putih sejak abad ke-13 atau sebelumnya.[108] Dinasti Ming Cina mempunyai angkatan tentera sebanyak 317 buah kapal dengan 37,000 orang di bawah Zheng He pada awal abad kelima belas, melayari Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.[3](pp12–13) Gerardus Mercator membuat peta gunaan dunia pada 1538, unjuran petanya semudahnya meluruskan garis rumb.[3](pp12–13) Pencartaan tepat pinggir laut Rusia hanya bermula pada abad ke-18, dan kepulauan Severnaya Zemlya tidak ditemui sehingga 1910.[109]

Peta dunia Gerardus Mercator dari 1569. Garis pinggir laut dunia lama digambarkan dengan agak tepat, tidak seperti untuk benua Amerika. Kawasan di garis lintang (Artik, Antartik) dibesarkan dengan besar dalam unjuran ini.

Kompas pertama kali digunakan oleh orang Yunani dan orang Cina purba untuk menunjukkan kedudukan arah utara dan kedudukan yang dituju oleh kapal. Garis lintang (sudut yang berjulat dari 0° di khatulistiwa hingga 90° di kutub) ditentukan dengan mengukur sudut di antara Matahari, Bulan atau bintang tertentu dan ufuk dengan menggunakan astrolab, tongkat Jacob atau sekstan. Garis bujur (garisan di atas glob menghubungkan kedua-dua kutub) hanya boleh dihitung dengan kronometer tepat untuk menunjukkan perbezaan masa tepat di antara kapal dan satu titik tetap seperti Meridian Greenwich. Pada 1759, John Harrison, seorang tukang jam, mereka sebuah alat dan James Cook menggunakannya dalam pelayaran penjelajahannya.[110] Kini, Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) menggunakan melebihi tiga puluh buah satelit membolehkan pandu arah tepat sedunia.[110]

Pada abad kedua, Ptolemy memetakan seluruh dunia yang dikenali dari "Fortunatae Insulae", Tanjung Verde atau Kepulauan Canary, ke arah timur ke Teluk Thailand. Peta ini digunakan pada 1492 apabila Christopher Columbus memulakan pelayarannya.[111] Menjeland abad kelapan belas peta lebih baik telah dibuat dan sebahagian objektif James Cook pada pelayarannya melanjutkan peta lautan. Kajian sains berterusan dengan rakaman dalam untuk Tuscarora, penyelidikan lautan pelayaran Challenger (1872–1876), karya orang-orang laut Skandinavia Roald Amundsen dan Fridtjof Nansen, ekspedisi Michael Sars pada 1910, ekspedisi German Meteor pada 1925, tinjauan Antartik untuk Discovery II pada 1932, dan yang lain sejak itu.[15] Pertubuhan Hidrografi Antarabangsa, diasaskan pada 1921, ialah pihak berkuasa tentang peninjauan hidrografi dan pencartaan nautika.[112]

Garisan Tarikh Antarabangsa ialah satu garisan khayalan di atas permukaan Bumi, diasaskan oleh Persidangan Meridian Antarabangsa pada 1884 untuk menandakan sempadan untuk satu hari takwim daripada yang seterusnya. Garisan ini menganjur dari utara ke kutub selatan kasar-kasar mengikuti garis bujur 180° melalui tengah-tengah Lautan Pasifik tetapi menyisih di tempat-tempat untuk memintas sesetengah wilayah dan gugusan pulau.[113]

Oseanografi dan penjelajahan laut dalam

Rencana–rencana utama: Oseanografi dan Penjelajahan laut dalam

Oseanografi ialah sains berbilang disiplin dan meneliti sifat air laut, mengkaji pasang surut dan arus, mencartakan garis pinggir laut, memetakan dasar laut dan mengkaji hidupan laut.[114] Oseanografi saintifik bermula dengan pelayaran Kapten James Cook dari 1768 hingga 1779, memerihalkan Lautan Pasifik dengan kepersisan buat pertama kalinya dari 71 darjah Selatan ke 71 darjah Utara.[3](p14) Kronometer John Harrison menyokong pandu arah jitu Cook dan carta pada dua daripada pelayaran ini, memperbaik piawaian dengan kekal yang boleh dicapai untuk kerja kemudiannya.[3](p14) Ekspedisi lain diikuti pada abad kesembilan belas, dari Rusia, Perancis, Belanda dan Amerika Syarikat serta Britain.[3](p15) Di atas HMS Beagle, yang menyediakan Charles Darwin dengan idea dan bahan untuk bukunya dari 1859 On the Origin of Species, nakhoda kapalnya, Robert FitzRoy, mencartakan laut-laut dan pinggir-pinggir laut dan menerbitkan laporan empat jilidnya mengenai tiga pelayaran kapal itu pada 1839.[3](p15) Buku Edward Forbes dari 1854, Distribution of Marine Life mempertikaikan bahawa tiada hidupan boleh hidup kira-kira di bawah 600 meter (2000 kaki). Ini dibuktikan salah oleh ahli biologi British W. B. Carpenter dan C. Wyville Thomson, yang pada 1868 menemui hidupan di dalam air dalam dengan mengorek.[3](p15) Wyville Thompson menjadi ketua ahli sains dalam ekspedisi Challenger pada 1872–1876, yang mencipta sains oseanografi dengan berkesan.[3](p15)

Dalam perjalanannya sepanjang 68,890-batu-nautika (127,580 km) mengelilingi glob, HMS Challenger menemui kira-kira 4,700 spesies laut baharu, dan melakukan 492 pemeruman laut dalam, 133 pengorekan dasar, 151 pemukatan tunda perairan lepas dan 263 pencerapan suhu air bersiri.[115] Di Lautan Atlantik selatan pada 1898/1899, Carl Chun di atas Valdivia membawa banyak bentuk hidupan baharu ke permukaan dari kedalaman melebihi 4,000 meter (13,000 ka). Pencerapan haiwan laut dalam pertama dalam persekitaran semula jadinya dibuat pada 1930 oleh William Beebe dan Otis Barton yang menuruni 434 meter (1,424 ka) di dalam keluli sfera Batisfera.[116] Ini direndahkan oleh kabel tetapi menjelang 1960 sebuah pemboleh tenggelam berkuasa sendiri, Trieste dimajukan oleh Jacques Piccard, membawa anak kapalnya ke bahagian terdalam di dalam lautan Bumi, Jurang Mariana di Lautan Pasifik, mencapai rekod kedalaman kira-kira 10,915 meter (35,810 ka),[117] kekaguman yang tidak diulangi sehingga 2012 apabila James Cameron memandu Deepsea Challenger ke kedalaman serupa.[118] Sut penyelaman atmosfera boleh dipakai untuk pengendalian laut dalam, dengan rekod dunia baharu ditetapkan pada 2006 apabila seorang Tentera Laut AS penyelam menuruni 2,000 kaki (610 m) dalam salah satu daripada sut bersendi dan bertekanan.[119]

Di laut dalam, tiada cahaya menembusi lapisan air dari atas dan tekanannya adalah ekstrem. Untuk penjelajahan laut dalam, penggunaan kenderaan khas diperlukan, sama ada kenderaan bawah kendalian jauh dengan cahaya dan kamera atau pemboleh tenggelam bermanusia. Pemboleh tenggelam Mir kendalian bateri mempunyai tiga orang anak kapal dan boleh menuruni 20,000 kaki (6,000 m). Mereka mempunyai port penglihatan, cahaya 5,000-watt, kelengkapan video dan lengan pemanipulasi untuk pengutipan sampel, peletakan kuar atau penolakan kenderaan merentasi dasar laut apabila penujah mengacau enapan berlebihan.[120]

Bathimetri ialah pemetaan dan kajian topografi dasar lautan. Kaedah yang digunakan untuk pengukuran kedalaman laut termasuk pemerum gema beralur tunggal atau berbilang alur, pemerum kedalaman bawaan udara dan penghitungan kedalaman daripada data pengesan jauh satelit. Maklumat ini digunakan untuk menentukan laluan kabel dan talian paip bawah laut, untuk memilih lokasi sesuai untuk penapakan pelantar minyak dan turbin angin luar pesisir dan untuk mengenal pasti kawasan perikanan baharu yang berpotensi.[121]

Penyelidikan oseanografi yang berterusan termasuk bentuk hidupan laut, pemuliharaan, persekitaran laut, kimia lautan, pengkajian dan pemodelan dinamik iklim, sempadan udara-laut, corak cuaca, sumber lautan, tenaga boleh diperbaharu, ombak dan arus, dan rekaan dan perkembangan alat dan teknologi baharu untuk menyiasat laut dalam.[122] Sementara pada 1960-an dan 1970-an penyelidikan tertumpu pada taksonomi dan biologi asasi, pada 2010-an tumpuan telah beralih kepada topik lebih besar seperti perubahan iklim.[123] Penyelidik mempergunakan penderiaan jauh berdasarkan satelit untuk perairan permukaan, dengan kapal penyelidikan, balai cerap tertambat dan kenderaan bawah berautonomi untuk mengkaji dan memantau kesemua bahagian laut.[124]

Undang-undang laut

"Kebebasan laut" ialah satu prinsip dalam undang-undang antarabangsa bertarikh dari abad ketujuh belas. Prinsip ini menekankan kebebasan untuk memandu arah lautan dan tidak menyetuji peperangan dipertarungkan di perairan antarabangsa.[125] Kini, konsep ini disemadikan dalam Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-Undang Laut (UNCLOS), versi ketiganya dikuatkuasakan pada 1994. Perkara 87(1) menyatakan: "Laut lepas adalah terbuka kepada semua negeri, sama ada di pinggir laut atau dikelilingi daratan." Perkara 87(1) (a) hingga (f) memberikan senarai tidak menyeluruh kebebasan termasuk pandu arah, lintas terbang, peletakan kabel bawah laut, pembinaan pulau buatan, perikanan dan penyelidikan sains.[125] Keselamatan perkapalan dikawal selia oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa. Objektifnya termasuk pemajuan dan pengekalan rangka kerja kawal selia untuk perkapalan, keselamatan laut, kebimbangan persekitaran, bahan undang-undang, kerjasama teknikal dan keselamatan laut.[126]

UNCLOS 111 mentakrifkan beberapa kawasan perairan. "Perairan pedalaman" ialah bahagian garis dasar ke arah darat dan kapal asing tidak mempunyai hak laluan di sini. "Perairan wilayah" menganjur sejauh 12 batu nautika (22 kilometer; 14 batu) dari garis pinggir laut dan di perairan ini, negeri pinggir laut adalah bebas untuk menetapkan undang-undang, mengawal selia dan mengeksploit mana-mana sumber. "Zon berdampingan" menganjur sejauh 12 batu nautika yang lanjut membolehkan kejar buru kapal yang disyaki melanggar undang-undang dalam empat bidang tertentu: kastam, percukaian, imigresen dan pencemaran. "Zon ekonomi eksklusif" mengajur sejauh 200 batu nautika (370 kilometer; 230 batu) dari garis dasar. Di dalam kawasan ini, negara pinggir laut mempunyai hak pengeksploitan tunggal ke atas kesemua sumber semula jadi. "Pentas benua" ialah pemanjangan semula jadi wilayah darat ke pinggir luar pinggir benua, atau 200 batu nautika dari garis dasar negeri pinggir laut, yang mana-mana yang lebih besar. Di sini negara pinggir laut mempunyai hak eksklusif untuk pengutipan hasil galian dan juga sumber hidup "tertempat" di dasar laut.[125]

Kapal-kapal mungkin melintasi sebilangan zon masa pada pelayaran, maka waktu nautika, diperkenalkan pada 1920-an digunakan di perairan antarabangsa. Setiap zonnya adalah 15 darjah secara seragam luas garis bujurnya, jam kapal dipercepat satu jam sezon apabila ke arah timur.[127]

Perjalanan

Kapal belayar atau bot tambang membawa surat menyeberangi laut, secara beransur menambah penginapan penumpang sesak. Seawal 1629, Syarikat Hindia Timur Belanda membawa sesetengah penumpang di atas Batavia yang malang from Texel dari Belanda ke Jawa.[128] Kemudian, perkhidmatan berjadula disediakan, tetapi masa perjalanan yang diambil sangat bergantung pada cuaca. Apabila kapal wap menggantikan kapal layar, kapal lautan mengambil alih tugas pembawaan orang. Menjelang permulaan abad kedua puluh, penyeberangan Lautan Atlantik hanya memakan masa sebanyak lima hari dan syarikat perkapalan bersaing untuk memilik kapal terbesar dan terpantas. Reben Biru ialah sanjungan tidak rasmi diberikan kepada kapal lautan terpantas yang menyeberangi Lautan Atlantik pada perkhidmatan nalar. Mauretania memegang gelarannya dengan 26.06 knot (48.26 km/h) selama dua puluh tahun dari 1909.[129] Piala Hales, satu lagi anugerah untuk penyeberangan Lautan Atlantik secara komersial terpantas, dimenangi oleh United States pada 1952 kerana penyeberangan yang memakan masa tiga hari, sepuluh jam dan empat puluh minit.[130]

Kapal lautan besar adalah selesa tetapi mahal harga minyaknya dan harga layanannya. Umur kapal lautan rentas Atlantik surut sebaik penerbangan antara benua mula tersedia. Pada 1958, perkhidmatan udara berjadual nalar antara New York dengan Paris memakan masa tujuh jam menamatkan perkhidmatan feri Atlantik. Satu demi satu kapal dibiarkan, sesetengah dijadikan serpihan, yang lain menjadi kapal pesiaran untuk industri senggang dan yang lain pula menjadi hotel terapung.[131] Laut masih menjadi laluan perjalanan orang perahu di dalam kapal kecil yang kadang-kadang tidak sesuai untuk laut, kerap membayar wang kepada penyeludup orang untuk laluan mereka. Sesetengah mungkin melarikan diri daripada hukuman tetapi kebanyakan merupakan pehijrah ekonomi mencuba untuk mencapai negara yang dipercayai oleh mereka mempunyai harapan lebih cerah untuk mereka.[132]

Perdagangan

Laluan perkapalan, menunjukkan kepadatan relatif perkapalan komersial di seluruh dunia.
Rencana–rencana utama: Perkapalan dan Perdagangan

Perdagangan laut telah wujud selama beralaf-alaf. Dinasti Ptolemy telah memajukan perdagangan dengan India menggunakan pelabuhan di Laut Merah dan pada alaf pertama SM orang Arab, orang Phoenicia, orang Israel dan orang India memperdagangkan barangan mewah seperti rempah, emas, dan batu-batu berharga.[133] Orang Phoenicia merupakan pedagang laut terkemuka dan berada di bawah orang Yunani dan orang Rom, perdagangan terus berkembang maju. Dengan kejatuhan Empayar Rom, perdagangan di Eropah merosot tetapi terus berkembang maju di kerajaan-kerajaan di Afrika, Timur Tengah, India, China dan Asia Tenggara.[134] Dari abad ke-16 hingga yang ke-19, kira-kira 13 juta orang dikapalkan merentasi Lautan Atlantik untuk dijual sebagai hamba di benua Amerika.[135]

Kini, kuantiti besar barangan diangkut mengikut laut, terutamanya merentasi Lautan Atlantik dan di sekitar Lingkungan Pasifik. Satu laluan perdagangan utama melalui Tiang-Tiang Hercules, merentasi Laut Mediterranean dan Terusan Suez ke Lautan Hindi dan melalui Selat Melaka; banyak perdagangan juga melalui Selat Inggeris.[136] Laluan perkapalan ialah laluan di laut lepas digunakan oleh kapal kargo, secara tradisional mempergunakan angin dan arus perdagangan. Melebihi 60 peratus lalu lintas kontena sedunia dibawa melalui dua puluh laluan perdagangan teratas.[137] Peleburan air batu Artik yang meningkat sejak 2007 membolehkan kapal untuk melalui Laluan Barat Laut selama beberapa minggu pada musim panas, mengelak laluan lebih panjang melalui Terusan Suez atau Terusan Panaman.[138] Perkapalan ditambah dengan kargo udara, satu proses mahal yang kebanyakannya digunakan untuk kargo yang terutamanya bernilai atau mudah rosak. Perdagangan laut membawa barangan bernilai melebiji $4 trilion AS setiap tahun.[139]

Ada dua jenis muatan utama, kargo pukal dan kargo pukal pisah atau kargo am, yang kebanyakannya kini diangkut di dalam kontena. Komoditi dalam bentuk cecair, serbuk atau zarah yang dibawa dengan longgar di dalam palka kapal kargo pukal dan termasuk minyak, butiran, arang, bijih, logam sekerap, pasir dan kelikir. Kargo pukal pisah biasanya merupakan barang perkilangan dan diangkut di dalam pakej, kerap ditindankan di atas palet. Sebelum ketibaan pengkontenaan pada 1950-an, barang muatan ini, diangkut dan dipunggah beruncit-uncit.[140] Penggunaan kontena telah meningkatkan kecekapan dan mengurangkan kos penggerakan kontena secara besar-besaran[141] dengan kebanyakan muatan kini diangkut di dalam kontena boleh kunci, bersaiz piawai, dimuatkan di atas kapal kontena dibina khas di terminal khas.[142][142] Syarikat penghantaran muatan menempah kargo, mengurus pengambilan dan pengiriman, dan mengurus pendokumenan.[143]

Makanan

Kapal kilang Jerman, 92 meter (302 ka) panjang.

Negara pinggir laut mempunyai zon ekonomi eksklusif menganjur sejauh 200 batu nautika (370 kilometer; 230 batu) dari pesisir yang di situ mereka mempunyai hak terhadap sumber laut termasuk stok ikan dan boleh mengawal selia spesies, saiz dan jumlah berat tangkapan yang dibenarkan. Kira-kira 87 peratus ikan ditangkap di dalam zon ini, tetapi kapal perikanan semakin lama semakin menjelajah dengan lanjut untuk mengeksploit stok di perairan antarabangsa.[144] Pada 2011, jumlah pengeluaran ikan sedunia, termasuk akuakultur, dijangkakan sebanyak 154 juta tan (152M tan panjang; 170M tan pendek) yang kebanyakannya adalah untuk pemakanan manusia. Penuaian ikan lain adalah sebanyak 90 juta tan (89M tan panjang; 99M tan pendek) sementara peningkatkan akuakultur tahunan menyumbangkan selebihnya.[144] Lautan Pasifik barat laut ialah kawasan paling produktif sementara tangkapan ikan di kebanyakan kawasan lautan lain memuncak pada tahun lebih awal. Stok ikan sedang dieksploit sepenuhnya di sesetengah kawasan dan dieksploit secara melampau di kwasan lain. Melebihi 3 juta buah kapal dihantar dalam penangkapan ikan laut.[144]

Kapal penangkapan ikan moden termasuk kapal pukat tunda ikan dengan anak kapal kecil, kapal pukat tunda buritan, kapal pukat jerut, vesel kilang rawai dan kapal kilang besar yang direka untuk menunggu di laut selama berminggu-minggu, memproses dan membekukan kuantiti besar ikan. Kelengkapan yang digunakan untuk menangkap ikan mungkin merupakan pukat jerut, pukat, pukat tunda, tangguk, pukat hanyut dan rawai dan spesies ikan yang paling kerap disasarkan ialah hering, ikan kod, ikan bilis, tuna, ikan sebelah, belanak, sotong dan salmon. Sebilangan perikanan ini telah mengalami kekurangan teruk disebabkan oleh eksploitasi berlebihan;[145] menjelang 2003, populasi ikan pemangsa besar sedunia dijangkakan dikurangkan sebanyak 90%.[146] Banyak negara telah memperkenalkan kuota di perairan mereka sendiri.[147]

Bot penangkapan ikan di Sri Lanka.

Kaedah penangkapan ikan tukang termasuk joran dan tali kajar, tempuling, penyelaman, perangkap, pukat dan pukat tarik. Perahu penangkapan ikan tradisional berkuasakan kayuhan, angin atau motor sangkut dan berkendali di perairan dekat pesisir. Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu menggalakkan kemajuan perikanan tempatan untuk menyediakan keselematan makanan kepada komuniti pinggir laut dan membantu untuk mengurangkan kemiskinan.[148]

Serta stok liar, kira-kira 79 juta tan (78M tan panjang; 87M tan pendek) makanan dan keluaran bukan makanan dikeluarkan oleh perladangan laut pada 2010, yang paling tinggi. Kira-kira enam ratus spesies tumbuhan dan haiwan dikulturkan, sesetengah untuk kegunaan dalam pembenihan populasi liar. Haiwan yang dibesarkan termasuk ikan sirip, reptilia air, krustasea, moluska, timun laut, landak laut, pepancut laut dan ubur-ubur.[149] Marikultur bersepadu mempunyai kelebihan adanya bekalan tersedia makanan plankton dan sisa dibuang secara semula jadi.[150] Beberapa kaedah digunakan. Kurungan jejaring untuk ikan sirip boleh diapungkan di laut lepas, sangkar boleh digunakan di perairan lebih terlindung atau kolam boleh disegarkan semula dengan air pada setiap air pasang. Udang halus boleh diternak di dalam kolam cetek terhubung dengan laut lepas.[151] Tali boleh digantungkan di dalam air untuk membesarkan alga, tiram dan siput sudu. Tiram boleh diternak di atas dalang atau di dalam tabung jejaring. Timun laut boleh pula diternak di atas dasar laut.[152] Atur cara pembiakbakaan kurungan telah membesarkan larva udang kara untuk pelepasan juvenil ke alam liar menyebabkan peningkatan tuaian udang kara di Maine.[153] Sekurang-kurangnya 145 spesies rumpai laut – alga merah, hijau dan perang – dimakan di seluruh dunia, dan sesetengah telah lama diternak di Jepun dan negara Asia lain; ada potensi besar untuk algakultur tambahan.[154] Sedikit tumbuhan berbunga laut digunakan secara meluas untuk makanan tetapi salah satu contoh ialah Salicornia europaea yang dimakan mentah-mentah dan masak-masak.[155]

Senggang

Kegunaan laut untuk senggang dimajukan pada abad kesembilan belas, dan menjadi industri ketara pada abad kedua puluh.[156] Kegiatan senggang laut boleh berubah-ubah, dan termasuk trip aturan sendiri, pesiaran, lumba layar, perlumbaan bot kuasa[157] dan penangkapan ikan;[158] pelayaran teratur secara komersial di atas kapal pesiaran;[159] dan trip di atas kapal lebih kecil untuk ekopelancongan seperti pemerhatian paus dan pemerhatian burung pinggir laut.[160]

Penyelam skuba dengan topeng muka, sirip dan radas pernafasan bawah air.

Manusia menikmati pengembaraan ke dalam laut; kanak-kanak berkayuh dan memercikkan air di perairan cetek dan ramai orang bersenang dalam bermandi dan berehat di pantai. Bukan ini yang selalu, tetapi dengan mandi laut menjadi popular di Eropah pada abad ke-18 selepas Dr. William Buchan menyokong amalan ini untuk sebab kesihatan.[161] Luncur air ialah sukan yang melibatkan ombak dinaiki oleh peluncur, dengan atau tanpa papan luncur air. sukan air laut lain termasuk luncur air layang-layang, yang melibatkan layang-layang kuasa merejak papan bermanusia merentasi air,[162] luncur air angin, yang melibatkan kuasa disediakan oleh layar kekal dan boleh kendali[163] dan main ski air, yang melibatkan bot kuasa digunakan untuk menarik pemain ski.[164]

Di bawah permukaan, junam bebas semestinya dihadkan kepada penurunan cetek. Penyelam mutiara secara tradisional telah menggris kulit mereka, meletakkan kapas di telinga mereka dan menyepit hidung mereka dan menyelami 40 kaki (12 m) dengan keranjang untuk mengumpulkan tiram mutiara.[165] Mata manusia tidak teradaptasi untuk kegunaan bawah air tetapi penglihatan boleh diperbaik dengan memakai topeng penyelaman. Peralatan berguna lain termasuk sirip dan snorkel, dan peralatan skuba membenarkan pernafasan bawah air dan lalu masa lebih lama boleh diluangkan di bawah permukaan.[166] Kedalaman boleh dicapai oleh penyelam dan panjang masa yang boleh digunakan oleh mereka untuk berada di bawah air dihadkan oleh peningkatan tekanan yang dialami oleh mereka semasa turun dan keperluan untuk mencegah penyakit penyahmampatan apabila pulang ke permukaan. Penyelam rekreasi dinasihati untuk mengehadkan diri kepada kedalaman di bawah 100 kaki (30 m) dan lebih rendah yang bahaya narkosis nitrogennya meningkat. Penyelaman dalam boleh dilakukan dengan alat dan latihan khas.[166]

Penjanaan kuasa

Rencana–rencana utama: Tenaga laut dan Tenaga angin luar pesisir

Laut menyediakan bekalan sangat besar untuk tenaga dibawa oleh ombak lautan, pasang surut, perbezaan kemasinan, dan perbezaan suhu lautan yang boleh dimanfaatkan untuk menjana elektrik.[167] Bentuk tenaga laut 'hijau' termasuk kuasa pasang surut, kuasa arus laut, kuasa osmosis, tenaga terma lautan dan kuasa ombak.[167][168]

Kuasa pasang surut: Stesen Kuasa Pasang Surut Rance 1 km, Brittany, menjana 0.5 GW.

Kuasa pasang surut menggunakan penjana untuk menghasilkan elektrik daripada aliran pasang surut, kadang-kadang dengan menggunakan empangan untuk menyimpan dan kemudian mengeluarkan air laut. Bendungan Rance, sepanjang 1 kilometer (0.62 mi), dekat dengan Saint-Malo di Brittany dibuka pada 1967; menjana kira-kira 0.5 GW, tetapi telah diikuti oleh beberapa skim serupa.[3](pp111–112)

Tenaga ombak yang besar dan sangat berubah-ubah memberinya kemampuan memusnah yang besar, menyukarkan pembangunan mesin ombak murah dan boleh percaya. Loji kuasa ombak komersial 2 MW kecil, "Osprey", dibina di Scotland Utara pada 1995 sepanjang kira-kira 300 meter (1000 ka) di luar pesisir. Loji ini kemudian dirosakkan oleh ombak, kemudian dimusnahkan oleh satu ribut.[3](p112) Kuasa arus laut boleh menyediakan sebahagian tenaga ketara yang diperlukan oleh mereka yang tinggal di kawasan petempatan dekat dengan laut.[169] Dalam prinsip, kuasa ini boleh dimanfaatkan oleh turbin aliran terbuka; sistem dasar laut tersedia, tetapi terhad kepada kedalaman kira-kira 40 meter (130 ka).[170]

Kuasa angin luar pesisir ditangkap oleh turbin angin yang ditempatkan di laut; mempunyai kelebihan bahawa kelajuan angin adalah lebih tinggi daripada di darat, tetapi ladang angin adalah lebih mahal untuk dibina di luar pesisir.[171] Ladang angin luar pesisir pertama dipasang di Denmark pada 1991,[172] dan keupayaan terpasang ladang angin luar pesisir Eropah mencapai 3 GW pada 2010.[173]

Stesen kuasa elektrik kerap terletak di pinggir laut atau di tepi muara supaya laut boleh digunakan sebagai penenggelam haba. Penenggelam haba lebih sejuk membolehkan penjanaan kuasa lebih cekap, yang penting untuk loji kuasa nuklear mahal terutamanya.[174]

Industri penyarian

Dasar laut mengandungi rizab galian yang boleh dieksploit dengan pengorekan. Ini mempunyai kelebihan atas pelombongan di darat kerana peralatan itu boleh dibina di limbungan kapal dan kos prasarana adalah lebih rendah. Keburukan termasuk masalah disebabkan oleh ombak dan pasang surut, kecenderungan untuk korekan untuk berkelodak dan penghanyutan timbunan hampas. Ada risiko penghakisan pinggir laut dan kerosakan persekitaran.[175]

Galian dimendakkan dekat dengan lohong hidroterma.

Mendapan sulfida leluasa dasar laut ialah sumber berupaya untuk perak, emas, tembaga, plumbum dan zink dan logam surih sejak penemuannya pada 1960-an. Sumber bahan ini membentuk apabila air yang dipanaskan secara geoterma dipancarkan dari lohong hidroterma laut dalam dikenali sebagai "pengasap hitam". Bijih-bijihnya bermutu tinggi tetapi mahal secara larangan untuk disarikan.[176] Pelombongan berskala kecil untuk dasar laut dalam dibangunkan di luar pinggir laut Papua New Guinea menggunakan teknik robot, tetapi halangan sukar diatasi.[177]

Ada mendapan besar untuk petroleum, sebagai minyak dan gas semula jadi, di dalam batu-batuan di bawah dasar laut. Pelantar luar pesisir dan rig gerudi menyarikan minyak atau gas dan menyimpannya untuk pengangkutan ke darat. Pengeluaran minyak dan gas luar pesisir boleh menjadi sukar kerana persekitaran jauh dan teruk.[178] Penggerudian untuk minyak di dalam laut mempunyai impak persekitaran. Haiwan mungkin dikelirukan oleh gelombang seismos digunakan untuk menentukan lokasi mendapan, mungkin menyebabkan keterdamparan paus. Bahan toksik seperti raksa, plumbum dan arsenik mungkin dilepaskan. Prasarana mungkin rosak, dan minyak mungkin tertumpah.[179]

Kuantiti besar untuk metana klatrat wujud di dasar laut dan di dalam enapan lautan pada suhu sekitar 2 °C (36 °F) dan ini diminati sebagai sumber tenaga berupaya. Sesetengah anggaran meletakkan amaun tersedia pada antara satu dengan 5 juta kilometer padu (0.24 hingga 1.2 juta batu padu).[180] Yang juga di dasar laut ialah bintil mangan terbentuk daripada lapisan besi, mangan dan hidroksida lain di sekitar sebuah teras. Di Lautan Pasifik ini mungkin meliputi 30 peratus dasar lautan dalam. Galian memendak daripada air laut dan bertumbuh dengan sangat perlahan. Penyarian komersialnya untuk nikel disiasat pada 1970-an tetapi ditinggalkan untuk sumber yang lebih mudah.[181] Di lokasi sesuai, intan dikumpulkan dari dasar laut menggunakan hos sedut untuk membawa kerikil ke darat. Di perairan lebih dalam, perangkak dasar laut bergerak digunakan dan mendapan dipam ke atas kapal di atas. Di Namibia, lebih intan kini dikumpulkan daripada sumber laut lebih daripada kaedah lazim di darat.[182]

Loji penyahgaraman osmosis berbalik.

Laut mempunyai kuantiti sangat besar untuk galian terlarut bernilai.[183] Yang paling penting, garam untuk kegunaan dapur dan industri telah dituai dengan penyejatan suria dari kolam cetek sejak zaman prasejarah. Bromin, dilonggokkan selepas dilarutresapkan dari darat, secara ekonomi dipulihkan dari Laut Mati, di tempat unsur ini terjadi pada 55,000 bahagian sejuta (ppm).[184]

Penyahgaraman ialah teknik pembuangan garam daripada air laut untuk meninggalkan air tawar sesuai untuk peminuman atau pengairan. Kedua-dua kaedah pemprosesan, penyulingan vakum dan osmosis berbalik, menggunakan kuantiti besar tenaga. Penyahgaraman biasanya hanya dijalankan apabila air tawar daripada sumber lain adalah kurang atau tenaga adalah sangat banyak, iaitu haba lebihan dijana oleh stesen kuasa. Air garam yang dihasilkan sebagai hasil sampingan mengandungi sesetengah bahan toksik dan dikembalikan ke laut.[185]

Peperangan laut

Peperangan laut: Letupan kapal laksamana Sepanyol semasa Pertempuran Gibraltar, 25 April 1607 oleh Cornelis Claesz van Wieringen, dahulunya diatributkan kepada Hendrik Cornelisz Vroom.
Rencana utama: Peperangan laut

Kawalan laut adalah penting kepada keselamatan negara laut, dan sekatan pelabuhan boleh digunakan untuk memutuskan makanan dan bekalan pada masa peperangan. Pertempuran telah dilakukan di laut selama melebii 3,000 tahun. Pada sekitar 1210 SM, raja Hitit mengalahkan dan membakar seangkatan tentara dari Cyprus. Pada Pertempuran Salamis 480 SM penentu, jeneral Yunani Themistocles memerangkap angkatan tentera laut jauh lebih besar milik raja Parsi Xerxes di sebuah selat sempit dan diserang kuat-kuat, memusnahkan 200 buah kapal Parsi untuk kerugian 40 buah kapal Yunani.[186] Pada penghujung Zaman Layar, tentera Inggeris, diketuai oleh Horatio Nelson, memecahkan kuasa gabungan angkatan tentera Perancis dan Sepanyol pada Pertempuran Trafalgar 1805.[187]

Dengan stim dan pengeluaran plat keluli industri datanglah kuasa tembak yang meningkat dengan mendadak dalam bentuk kapal tempur dreadnought lengkap bersenjatakan senjata api julat panjang. Pada 1905, angkatan tentera Jepun mengalahkan angkatan tentera Rusia secara muktamad, yang telah menempuhi melebihi 18,000 batu nautika (33,000 km), dalam Pertempuran Tsushima.[188] Dreadnought bertempur tanpa kesimpulan pada Perang Dunia Pertama dalam Pertempuran Jutland 1916 antara Grand Fleet Tentera Laut Diraja dengan Angkatan Tentera Laut Lepas Kaiserliche Marine.[189] Pada Perang Dunia Kedua, kejayaan British pada Pertempuran Taranto 1940 menunjukkan bahawa kuasa udara tentera laut adalah cukup untuk mengatasi kapal perang terbesar,[190] membayangkan pertempuran laut penentu untuk Perang Pasifik termasuk Pertempuran-Pertempuran Laut Karang, Midway, Laut Filipina, dan Pertempuran Teluk Leyte klimaktik, yang dalam kesemuanya kapal dominan merupakan kapal induk pesawat udara.[191][192]

Kapal selam menjadi penting dalam peperangan laut pada Perang Dunia I, apabila kapal selam Jerman, dikenali sebagai U-boot, mengaramkan hampir 5,000 kapal pedagang Pihak Bersekutu,[193] termasuk RMS Lusitania, lalu membantu untuk membawa Amerika Syarikat ke dalam peperangan.[194] Pada Perang Dunia II, hampir 3,000 buah kapal Pihak Bersekutu dikaramkan oleh U-boot yang cuba menyekat aliran bekalan ke Britain,[195] tetapi Pihak Bersekutu memecahkan sekatan dalam Pertempuran Atlantik, yang berlanjutan selama panjang keseluruhan peperangan, mengaramkan 783 buah U-boot.[196] Sejak 1960, beberapa buah negara telah mengekalkan angkatan kapal peluru berpandu balistik berkuasa nuklear, kapal yang lengkap untuk melancarkan peluru berpandu balistik dengan kepala peledak nuklear dari bawah laut. Sesetengah daripada ini disimpah dengan kekal dalam rondaan.[197][198]

Pencemaran laut

Rencana utama: Pencemaran laut

Banyak bahan memasuki laut disebabkan oleh kegiatan manusia. Keluaran pembakaran diangkut di udara dan dimendapkan ke dalam laut oleh mendakan. Aliran luar industri dan kumbahan menyumbangkan logam berat, racun perosak, PCB, penyahjangkit, produk pembersihan rumah dan bahan kimia sintesis Ini menjadi pekat di dalam filem permukaan dan di dalam enapan laut, terutamanya lumpur muara. Hasil kesemua kontaminasi ini sangat tidak diketahui kerana bilangan besar bahan yang terlibat dan kekurangan maklumat tentang kesan biologinya.[199] Logam berat yang paling dibimbangkan ialah tembaga, plumbum, raksa, kadmium dan zink yang mungkin dibiotumpukkan oleh invertebrat laut. Ini merupakan toksin melonggok dan mengatasi rantai makanan.[200]

Kebanyakan sampah sarap plastik yang terapung tidak membiodegrad, sebaliknya menyepai lambat laun dan akhirnya berpecah kepada aras molekul. Plastik tegar mungkin terapung selama bertahun-tahun.[201] Di tengah-tengah gir Pasifik ada tumpukan terapung sisa yang kebanyakannya plastik[202] dan ada tompok sampah serupa di Lautan Atlantik.[203] Burung laut yang mencari makanan seperti albatros dan petrel mungkin silap bahawa puing ialah makanan, dan menumpukkan plastik tidak boleh cerna di dalam sistem pencernaannya. Penyu dan paus telah ditemui dengan beg plastik dan tali kail di dalam perut. Mikroplastik mungkin tenggelam, mengancam pemakan menuras di dasar laut.[204]

Kebanyakan pencemaran minyak di laut datang dari bandar raya dan industri.[205] Minyak adalah berbahaya untuk haiwan laut. Minyak boleh menyumbat bulu burung laut, mengurangkan kesan tebatnya dan keapungan burung, dan diinges apabila menyelisik diri dalam cubaan untuk menanggalkan bahan kontaminasi. Mamalia laut terjejas dengan kurang parah tetapi mungkin menyejuk melalui pembuangan penebatannya, buta, ternyahhidrat atau teracun. Invertebrat bentos tenggela apabila minyak tenggelam, ikan diracuni dan rantai makanan terganggu. Dalam jangka masa pendek, tumpahan minyak menyebabkan populasi hidupan liar menurun dan tidak seimbang, kegiatan senggang terjejas dan mata pencarian orang yang bergantung pada laut musnah.[206] Persekitaran laut mempunyai ciri swabersih dan bakteria yang terjadi secara semula jadi akan bertindak lambat laun untuk membuang minyak dari laut. Di Teluk Mexico, tempat yang sudah ada bakteria memakan minyak, ia hanya memakan masa beberapa hari untuk menggunakan minyak tertumpah.[207]

Lorotan baja dari tanah pertanian ialah sumber besar pencemaran di sesetengah kawasan dan nyahcas kumbahan mentah mempunyai kesan serupa. Nutrien tambahan disediakan oleh sumber-sumber ini boleh menyebabkan pertumbuhan tumbuhan berlebihan Nitrogen kerap merupakan faktor pengehad dalam sistem laut, dan dengan nitrogen tambahan, kembangan alga dan kembangan merah boleh merendahkan paras oksigen air dan membunuh haiwan laut. Peristiwa sedemikian telah mewujudkan zon mati di Laut Baltik dan Teluk Mexico.[205] Sesetengah kembangan alga disebabkan oleh sianobakteria yang menjadikan kerang-kerangan yang memakan kembangan itu secara menuras toksik, membahayakan hiwan seperti memerang laut.[208] Kemudahan nuklear juga boleh mencemarkan laut. Laut Ireland dikontaminasi oleh sesium-137 radioaktif dari bekas loji pemprosesan minyak nuklear Sellafield[209] dan kemalangan nuklear mungkin juga menyebabkan bahan radioaktif meresap ke dalam laut, seperti dalam bencana di Loji Kuasa Nuklear Daiichi Fukushima Daiichi pada 2011.[210]

Pelambakan sisa (termasuk minyak, cecair berbahaya, kumbahan dan sampah) di laut ditadbir oleh undang-undang antarabangsa. Konvensyen London (1972) ialah satu persetujuan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengawal pelambakan lautan yang telah diratifikasi oleh 89 buah negara menjelang 8 Jun 2012.[211] MARPOL 73/78 ialah satu konvensyen untuk meminimumkan pencemaran laut oleh kapal-kapal. Menjelang Mei 2013, 152 buah negara maritim telah meratifikasi MARPOL.[212]

Orang asli laut

Beberapa golongan orang asli nomad di Asia Tenggara Maritim tinggal di atas bot dan memperoleh hampir kesemua keperluan daripada laut. Orang Moken tinggal di garis pesisir Thailand dan Burma dan di kepulauan di Laut Andaman.[213] Orang Bajau berasal dari Kepulauan Sulu, Mindanao dan Borneo utara.[214] Sesetengah Gipsi Laut berjaya dalam penyelaman bebas, mampu menyelami kedalaman 30 meter (98 ka), sungguhpun ramai yang mengadopsi cara hidup berdasarkan daratan yang lebih tetap.[215][216]

Orang asli di Artik seperti orang-orang Chukchi, Inuit, Inuvialuit dan Yup'iit memburu mamalia laut termasuk anjing laut dan paus,[217] dan Penghuni Pulau Selat Torres di Australia termasuk pemilikan Terumbu Sawar Besar sebagai antara milik mereka. Mereka hidup dengan cara hidup tradisional di pulau-pulau melibatkan pemburuan, pemancingan, perkebunan dan perdagangan dengan orang yang bersebelahan di Papua dan Orang Peribumi Australia.[218]

Dalam budaya

Ombak besar di luar pinggir laut Kanagawa oleh Katsushika Hokusai, c. 1830[3](p8)
Rencana utama: Laut dalam budaya

Laut muncul dalam budaya manusia dalam cara bercanggah, sebagai kedua-dua berkuasa tetapi tenang dan sebagai indah tetapi berbahaya.[3](p10) Laut mempunyai tempatnya dalam kesusasteraan, seni, puisi, filem, panggung, muzik klasik, mitologi dan pentafsiran mimpi.[219] Orang purba mempersonafikasinya, mempercayainya berada di bawah kawalan makhluk yang perlu dipuaskan, dan secara simbolik, laut telah diamati sebagai persekitaran musuh didiami oleh makhluk fantasi; Leviatan dalam Alkitab,[220] Scylla dalam mitologi Yunani,[221] Isonade dalam mitologi Jepun,[222] dan kraken mitologi Norse hujung.[223] Tamadun telah maju melalui perdagangan laut dan pertukaran idea.[224][225](pp206–208)

Lukisan Zaman Keemasan Belanda: Y di Amsterdam, terlihat dari Mosselsteiger (tiang kupang) oleh Ludolf Bakhuizen, 1673[226]

Laut dan kapal telah digambarkan dalam seni berubah-ubah daripada lukisan mudah di dinding pondok di Lamu, Kenya,[219] hingga rupa laut oleh Joseph Turner. Dalam lukisan Zaman Keemasan Belanda, seniman seperti Jan Porcellis, Hendrick Dubbels, Willem van de Velde si Tua dan anaknya, dan Ludolf Bakhuizen meraikan laut dan tentera laut Belanda di puncak kehandalan ketenteraannya.[226][227] Seniman Jepun, Katsushika Hokusai, mencipta cetakan warna suasana laut, termasuk Ombak Besar di luar pesisir Kanagawa.[3](p8)

Muzik juga telah diilhamkan oleh laut, kadang-kadang oleh penggubah yang tinggal atau bekerja dekat dengan pesisir dan melihat banyak apsek laut yang berlainan. Randai pelaut, lagu yang dinyanyikan oleh pelaut untuk membantu mereka melakukan tugas sukar, telah dijalinkan daripada air tenang, ombak membadai dan ribut di laut.[228] Muzik klasik berkaitan dengan laut termasuk Orang Belanda Terbang oleh Richard Wagner,[229] La mer (1903–05) oleh Claude Debussy,[230] 'Lagu-Lagu Laut (1904) dan Lagu-Lagu Armada (1910) oleh Charles Villiers Stanford, Gambar-Gambar Laut (1899) oleh Edward Elgar dan Sebuah Simfoni Laut (1903–1909) oleh Ralph Vaughan Williams.[231]

Sebagai lambang, laut sudah berkurun-kurun memainkan peranan dalam kesusasteraan, puisi dan mimpi. Kadang-kadang laut ada sebagai latar belakang lembut tetapi kerap laut memperkenalkan tema seperti ribut, nahas kapal, pertempuran, kesusahan, bencana, kesigapan harapan dan kematian.[232] Dalam puisi epik, Odyssey, ditulis pada abad ke-8 SM,[233] Homer menggambarkan pelayaran sepuluh tahun oleh wira Yunani, Odysseus yang bertungkus-lumus untuk pulang ke rumah merentasi banyak rintangan laut selepas perang yang digambarkan dalam Iliad.[234] Laut merupakan satu tema berulang-ulang dalam puisi haiku oleh pemuisi, Matsuo Bashō (松尾 芭蕉) (1644–1694), dari zaman Edo Jepun.[235] Dalam kesusasteraan moden, novel-novel yang berilhamkan laut telah diarang oleh Joseph Conrad — diperoleh daripada pengalamannya di laut,[236] Herman Wouk,[237] dan Herman Melville.[238] Dalam karya ahli psikiatri, Carl Jung, laut melambangkan bawah sedar peribadi dan kolektif dalam pentafsiran mimpi, kedalaman laut melambangkan kedalaman minda tidak sedar.[239] Sungguhpun asal usul hidupan di Bumi masih merupakan perkara perdebatan,[240] ahli sains dan pengarang, Rachel Carson, dalam buku 1951 pemenang anugerah, The Sea Around Us, mengarang, "Keadaan laut, yang darinya hidupan pertama kali muncul, kini patut diancam oleh kegiatan satu bentuk hidupan itu, adalah aneh. Tetapi laut, sungguhpun berubah dalam cara mencurigakan, akan terus wujud: ancamannya sebenarnya terhadap hidupan itu sendiri."[241]

Rujukan

WikiPedia: Laut http://www.antarctica.gov.au/about-antarctica/envi... http://www.bom.gov.au/tsunami/info/index.shtml http://www.ga.gov.au/marine/bathymetry.html http://www.gbrmpa.gov.au/our-partners/traditional-... http://museum.wa.gov.au/research/research-areas/ma... http://www.abc.net.au/news/2013-08-14/no-evidence-... http://ir.anet.ua.ac.be/irua/handle/10067/38167015... http://www.arctic.uoguelph.ca/cpe/environments/mar... http://homepage.usask.ca/~jrp638/CourseNotes/OdSum... http://www.abc-of-skiing.com/water-skiing/discipli...